MEMO PENGERUSI

KATA-KATA ALUAN PENGERUSI BADAN GPK HEM MARAN


     Alhamdulillah bersyukur ke hadrat Allah SWT kerana dengan izinnya saya diberi ruang untuk menyampaikan mesej Badan GPK HEM Maran dalam laman sesawang ini.

     Terlebih dahulu tahniah dan syabas diucapkan kepada semua AJK Badan HEM Maran kerana berjaya membangunkan portal rasmi sendiri sebagai salah satu matlamat mengoptimumkan kecekapan sistem capaian maklumat masa kini.

     Pihak Badan GPK HEM Maran mempunyai komitmen yang tinggi untuk melahirkan modal insan cemerlang dalam kalangan pelajar dari semua aspek kehidupan. Ini selaras dengan Falsafah Pendidikan Negara menerusi Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013 – 2025 yang merangkumi enam aspirasi murid iaitu Pengetahuan, Kemahiran Berfikir, Kemahiran Memimpin, Kemahiran Dwibahasa, Etika dan Kerohanian serta Identiti Nasional. Daripada kaca mata Penolong Kanan HEM, kecemerlangan pelajar hanya akan dapat dicapai seiring dengan kelangsungan pematuhan polisi Kementerian Pendidikan terutama dalam pembentukan sahsiah dan kemenjadian murid, seterusnya memacu kecemerlangan sekolah-sekolah dalam daerah Maran khususnya.

     Antara lain objektif penubuhan Badan HEM Maran ialah memupuk semangat kerjasama dan setia kawan dalam kalangan Penolong Kanan HEM selain menyuburkan daya kepimpinan melalui program yang dijalankan sepanjang tahun. Selain itu perkongsian maklumat dan penjanaan idea bagi menangani cabaran dunia pendidikan kini. Menerusi laman sesawang Badan GPK HEM Maran ini, sumber dan saluran maklumat berhubung isu semasa, arahan, siaran dan surat pekeliling dari Kementarian Pendidikan, Jabatan Pendidikan Negeri dan Pejabat Pendidikan Daerah dapat diakses dengan pantas. Tidak ketinggalan juga seluruh warga pendidik dan masyarakat amnya dapat berkongsi maklumat dan manfaat daripadanya.

     Akhir kata, sebagai seorang yang bertanggungjawab mengurus dan menjana modal insan peringkat sekolah, marilah kita sama-sama tanamkan “jiwa besar” di dalam diri anak-anak yang akan menjadi pewaris masa depan negara. Pendidikan negara tanggungjawab kita bersama, menjayakan dan membangunkan bermakna kita membangunkan masa depan negara yang tercinta ini.

Terima kasih.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan